Friday 20 June 2014

7- Luangkan masa meningkatkan kemahiran anda




SAMBUNGAN..... Tips yang ke-7 Tingkatkan kemahiran diri

  • Apabila terdapat 2 orang pemuda sedang berlumba memotong pokok, siapakah yang menyiapkannya paling cepat? Pemuda yang menggunakan kapak paling tajam di dunia ataupun pemuda yang menggunakan kapak paling tumpul di dunia?
  • Mudah menjawabnya bukan? Meningkatkan kemahiran anda bermaksud anda perlu berlatih meningkatkan kebolehan anda mempelajari sesuatu dengan cepat. Latih kebolehan menghafal dan pembacaan pantas. Latih juga kepakaran anda dalam subjek tertentu seperti Matematik supaya anda dapat menyiapkan soalan-soalan Matematik dengan lebih pantas. Kepantasan adalah sesuatu yang begitu berharga pada masa kini. Ini adalah kerana kepantasan berkaitan dengan masa dan masa adalah sesuatu yang paling bernilai pada masa kini.
  • Jadi, fikirkan apakah kemahiran ataupun pengetahuan lain yang perlu ada supaya dapat menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seterusnya menjadi seorang yang berjaya dalam hidup.

ALHAMDULILLAH... BERAKHIR SUDAH TIPS PETUA PENGURUSAN MASA...
Moga kita sama-sama dapat menjaga MASA HIDUP yang ada ini dengan sebaiknya. Masa lapang yang diberikan Allah adalah antara nikmat Allah kepada umatNya.
 INGATLAH 5 PERKARA SEBEUM DATANGNYA 5 PERKARA YANG LAINNYA.....

Thursday 19 June 2014

6- Luangkan masa bagi menenangkan fikiran


SAMBUNGAN.... Tips ke-6, wujudkan masa untuk tenangkan fikiran.
  • Lebih tenang fikiran anda, lebih mudah anda menumpukan perhatian kepada apa yang anda pelajari. Apabila fikiran tenang, anda kurang mengambil masa bagi mengulang kaji sesuatu mata pelajaran kerana anda lebih cepat faham.
  • Sebaliknya, apabila anda tidak tenang, walaupun anda meluangkan masa 2 jam bagi belajar pada satu-satu masa, tidak banyak yang masuk ke dalam minda anda.
  • Jadi, luangkan masa tenangkan fikiran anda. Menggunakan masa bagi tujuan sebegini tidak merugikan masa anda. RUJUK TOPIK MENENANGKAN FIKIRAN ya... Inshaa Allah jika berkesempatan akan saya kongsikan ok... Topik ini turut dibincangkan dalam buku  ini, 'Kemahiran Belajar'.

5- Tempat belajar dan suasana pembelajaran

SAMBUNGAN ....
Tips ke-5, Tempat belajar dan suasana pembelajaran.

  • Apa kaitan tempat belajar dengan teknik pengurusan masa? Banyak kaitannya. Apabila anda memilih tempat belajar yang salah, anda membazirkan lebih banyak masa berbanding apabila anda memilih tempat yang betul dan sesuai. Apakah ciri-ciri tempat belajar yang sesuai? Berikut adalah beberapa cadangan bagi tempat belajar yang sesuai:
  1. Tempat duduk dan menulis yang selesa.
  2. Kemas dan teratur.
  3. Bersih dan bau yang menyenangkan.
  4. Tidak terlalu bising.
  5. Cahaya mencukupi.

Wednesday 18 June 2014

4- Uruskan masa berpandukan pencapaian akademik


Alhamdulillah... hari ini masih diberikan ruang dan kesempatan untuk saya menyambung perkongsian tips dalam buku 'Kemahiran Belajar'.

TIPS KE-4 Urus masa berpandukan pencapaian akademik:

  • Tetapkan matlamat. Bagi menetapkan matlamat mendapat A di dalam sesuatu subjek, kita perlu tahu dimana kita berdiri sekarang. Katakan kita mahu mendapat A dalam peperiksaan Bahasa Melayu dan anda selalu mendapat D. Perbezaan di antara gred yang ingin dicapai dan gred anda sekarang dipanggil jarak kelemahan. Lihat rajah di bawah.
                                                                                                        A
                                                                                                 RRRRRRR
                                                                                                 RRRRRRR
                                                                                                 RRRRRRR
                                                                D                             RRRRRRR
                                                        RRRRRRRR               RRRRRRR
                                                        RRRRRRRR               RRRRRRR
                                                         (Sekarang)                   (Matlamat)

# Jadi dilihat jarak kelemahan sekarang dengan matlamat yang ingin dicapai.

  • Supaya mendapat A sebagaimana yang anda kehendaki, anda perlu mengkaji apa yang menyebabkan jarak itu berlaku. Adakah kerana anda lemah dalam tatabahasa, lemah dalam pembinaan struktur ayat ataupun kurang perbendaharaan kata. Selepas anda mengenal pasti kelemahan itu, masa perlu ditumpukan bagi mengurangkan jarak kelemahan itu. Akhirnya, tidak  ada lagi jarak dan  anda dapat mencapai matlamat. Jadi, di dalam jurnal pengurusan masa, mungkin anda patut memperuntukkan lebih masa bagi subjek-subjek yang mempunyai jarak kelemahan yang besar seperti subjek Bahasa Melayu.
  Di atas setiap keluangan masa lapang yang dianugerahkan  oleh Allah.

Saturday 14 June 2014

3- Mengurus masa berpandukan matlamat

TIPS YANG KE-3, Cepisan daripada buku 'Kemahiran Belajar':

  • Ada pelajar yang merungut menghabiskan banyak masa bagi belajar tetapi tidak banyak yang diperoleh. Bagi menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan bijak menguruskan masa, anda tidak patut berfikir mengenai berapa lama masa yang anda mahu habiskan semasa belajar ataupun mengulang kaji. Tetapi anda harus fikir, berapa banyak yang anda mahu belajar dalam masa yang ditetapkan.
  • Contohnya begini. Ada 2 orang pelajar, Zahir dan Najmi. Setiap kali mahu merancang masa belajar Zahir berfikir "Berapa lama aku nak belajar Sejarah ni? Aku tak ada apa-apa nak buat malam ni. Aku belajar 4 jam la malam ni".
  • Najmi pula berlainan caranya. Setiap kali merancang bagi mengulangkaji, dia berfikir, "Aku nak belajar Sejarah 2 jam malam ni. Dalam masa 2 jam ni, aku kena habiskan topik tamadun Islam dan jawab satu soalan esei mengenai topik ni".
  • Nampakkah perbezaannya? Zahir hanya memikirkan mengenai masa yang hendak dihabiskan manakala Najmi memikirkan apa yang dapat dicapai dalam masa belajar itu. Siapakah yang belajar denganlebih baik? Walaupun Najmi hanya bercadang belajar 2 jam berbanding Zahir selama 4 jam, saya percaya Najmi belajar dengan lebih baik. Jadi, tentukan matlamat yang anda mahu capai dalam masa tertentu.

2- Kawal kitaran kecergasan minda anda sendiri




Alhamdulillah... di pagi hari ini saya masih berpeluang untuk menyambung tips yang kedua 'Pengurusan Masa': cepisan di dalam buku 'Kemahiran Belajar'.
SAMBUNGAN TIPS KE-2....

  • Walaupun kita hanya cergas pada waktu tertentu sahaja, sebenarnya kita dapat mengawal kitaran ini. Maksudnya, kita dapat mengawalnya pada bla-bila masa sahaja apabila kita mahu minda menjadi CERGAS.
  • Contohnya, minda saya lebih cergas belajar pada waktu malam. Tetapi saya dapat mengawalnya bagi menjadi cergas pada waktu pagi ataupun petang juga. Bagaimanakah caranya???
  • Sebelum itu, cuba anda fikirkan, apa yang anda rasa semasa minda anda berasa cergas? Tentu anda berasa fikiran anda begitu jelas dan perasaan begitu bersemangat bagi melakukan sesuatu. Ini adalah keadaan yang diwujudkan setiap kali saya mahu minda saya berasa cergas. Saya dengan sengaja menaikkan semangat saya.
  • Saya suka membaca buku kisah  kejayaan seseorang terutama sekali mengenai kejayaan dalam bidang perniagaan. Saya juga suka menonton tayangan gambar cakera video padat (VCD) mengenai cerita fantasi seperti Superheroes ataupun kisah penyiasatan.

Friday 13 June 2014

1- Kitaran kecergasan minda

Pertama sekali  saya ingin nyatakan bahawa perkongsian ini saya petik dalam buku 'Kemahiran Belajar' oleh Osman Affan.

  • Mungkin kita menyedari bahawa ada waktunya dalam sehari kita merasakan seperti kurag efektif dalam melakukan sesuatu. Kita rasa seolah berkhayal ataupun tidak rasa bersemangat untuk melakukan sesuatu.
  • Perkongsian penulis "Semasa saya berada di sekolah menengah, waktu awal pagi adalah waktu yang begitu tidak efektif bagi saya. Saya selalu mengantuk pada waktu awal pagi dan jarang dapat mengulang kaji ataupun membaca buku dengan baik. Waktu yang baik bagi saya belajar selalunya adalah pada waktu malam terutamanya semasa semua orang sudah tidur. Pada waktu inilah otak saya paling ligat berputar. Saya rasa minda saya begitu cergas. Saya juga rasa saya dapat membuat banyak kerja pada waktu ini".
  • Sebenarnya, setiap pelajar mempunyai waktu kecergasan minda yang berbeza, yang dikenali penulis sebagai kitaran kecergasan minda. Ada pelajar yang cergas pada waktu petang ataupun malam. Mengapa kita perlu tahu waktu minda kita paling cergas?
  • Apabila kita tahu waktunya, kita patut meletakkan waktu itu bagi melakukan kerja-kerja sekolah ataupun mengulang kaji pelajaran. Ini kerana, kita pasti dapat menyelesaikan banyak kerja dan belajar banyak perkara baru pada waktu ini.
  • Contohnya, apabila kita sentiasa berasa cergas pada waktu pagi, cuba jadualkan supaya kita dapat membaca buku atau mengulang kaji beberapa minit sebelum pergi ke sekolah, jika anda bersekolah pada waktu pagi. Di sekolah pula, ambil masa yang terluang sementara menunggu guru masuk ke kelas bagi membuat kerja sekolah. Kita perlu mengambil masa begini kerana kita begitu cergas pada waktu pagi. Apabila menunggu sehingga habis waktu persekolahan, hari sudah petang dan minda tidak cergas lagi pada waktu ini (bagi mereka yg mempunyai kitaran kecergasan pada waktu pagi).
  • Namun, ini tidak bermakna tidak perlu membuat apa-apa di sekolah apabila kita adalah jenis pelajar yang cergas pada waktu petang. Apabila tidak dapat belajar dengan baik pada waktu pagi cuba buat sesuatu yang dapat membantu kita mengulang kaji pada waktu petang. Contohnya, apabila kita mahu mengulang kaji Pendidikan Islam pada waktu petang, kita boleh meminjam buku yang diperlukan di perpustakaan ataupn dapatkan latihan daripada ustaz atau ustazah.
  • Apa yang penting jangan  membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah semasa minda kita sedang cergas. Kecergasan minda adalah sesuatu yang begitu berharga. Kita dapat menyelesaikan kerja dengan masa  yang lebih singkat apabila dilakukan pada waktu ini. Jadi, kenal pasti waktu kecergasan minda kita dan jadualkan proses pembelajaran pada sekitar waktu itu.
WAKTU MANAKAH.... MINDA ANDA DALAM KEADAAN CERGAS???

7 Petua Pengurusan Masa

Assalamualaikum.... salam sejahtera kepada kamu semua.
Alhamdulilah hari ini diberikan kelapangan masa mencoret sedikit perkongsian yang saya temui dalam buku ''Kemahiran Belajar'' oleh Osman Affan, 2007.
TIPS-TIPS PENGURUSAN MASA ........ ke arah mengatur langkah mencapai kejayaan yang diimpikan.


1- Ketahui kitaran kecergasan minda
2- Kawal kitaran kecergasan minda anda sendiri
3- Menguruskan masa berpandukan matlamat
4- Uruskan masa berpandukan pencapaian akademik
5- Pilih tempat belajar dan suasana pembelajaran
6- Luangkan masa bagi menenangka fikiran
7- Luangkan masa meningkatkan kemahiran anda

Baiklah, ini sahaja perkongsian yang dapat saya coretkan buat masa ini... inshaa Allah, jika diberi kelapangan masa akan saya kongsikan perinciannya untuk 'entry' yang berikutnya....

# LAYARI LAMAN INI : http://teknikbuatblog.blogspot.com/2010/09/cara-tukar-mouse-pointer-cursor-pada.html ... ;) untuk mendapatkan tips membuat blog# saya telah mencubanya hari ini. Alhamdulillah.
 CUBA LAKUKANNYA... OK ;)