Tuesday, 18 June 2013

Bina kerjaya cemerlang


       Alhamdulillah...  apabila kita memikirkan akan kekuasaan Allah Yang Maha Kuasa hati kita akan mulai merasai ketenangannya. Setiap apa yang Allah jadikn ada hikmahnya, dan hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.. contohnya, lihatlah pada serangga-serangga.. pada satu ketika haiwan-haiwan kecil ini mungkin bagi kita menyusahkan. Mungkin ia akan merosakkan tanaman kita dan sebagainya. Namun kita harus sedar pada sudut yang lain pula ia amat memberikan manfaat kepada kita semua, contohnya pada semut kita lihat sentiasa hidup meliar dan kadang-kadang merosakkan makanan kita. Kelihatan di dalam bekas gula dipenuhi dengan semut, jika ada minuman yang manis maka datanglah semut untuk memakannya atau dijadikan simpanan makanan bagi semut. Itu semua mungkin sedikit sebanyak akan menyusahkan hidup kita, tetapi pada satu saat semut ini akan menjadi amat bermakna pada kita tanpa kita sedari apabila tugas semut ini menguraikan sisa-sisa makanan yang berlebihan seterusnya berlakulah proses-proses yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Kuasa. Kitaran sebuah kehidupan yang cukup strategik dan terancang dengan kekuasaan Nya yang tiada tandingan. Subhanallah...


      Baiklah, sekarang kita kembali pada tajuk post yang ingin saya kongsikan. Petikan ini saya perolehi daripada akhbar Harian Metro bertarikh 19 Disember 2011 (Isnin). Diharap perkongsian ini tidak akan menyalahi mana-mana akta percetakan dan elektronik.... bagi saya pengisian yang diberikan ini amat bermakna. ('',)

Berfikir di luar kebiasaan dan jadilah penyelesai masalah apabila didatangi cabaran dalam pekerjaan......
Tentu sukar bagi pelajar memperoleh pengetahuan berbentuk latihan praktikal atau terdedah dengan persekitaran pekerjaan sebenar jika tiada pengalaman. Malah peluang itu cukup berharga dan harus direbut sebelum melangkah ke alam pekerjaan untuk membina kerjaya cemerlang dalam industri.



Di sini disediakan 10 panduan berguna bagi membantu anda memperoleh yang terbaik demi masa depan.

1- Berpegang pada matlamat
     Sebelum memulakan latihan amali, luangkan masa bagi menyenaraikan matlamat yang ingin dicapai bagi memahami lebih mendalam kursus yang anda ikuti dan mempelajari kemahiran atau rangkaian baru. Menerusi cara ini, anda pasti berusaha dan merasai satu pengalaman berbeza jika tahu apa yang ingin dicapai dari awal.

2- Positif
     Banyak syarikat yang beranggapan bahawa pelatih yang menjalani praktikal sepatutnya diberikan tugasan mudah di peringkat awal kemasukan kerja. Ini termasuklah membuat salinan kertas cadangan, membawa peralatan untuk majlis yang bakal diadakan atau membantu menyusun atur sekitar majlis. Tanamkan nilai positif, tidak kira apa jua jenis tugasan diberikan, anggap ia satu pengalaman baru wajar dipelajari sekalipun sekadar melihat dan mendengar apa yang berlaku sekitar anda.

3- Elakkan bersikap negatif
      Jauhi daripada bersikap negatif. Jangan suka mengadu atau merungut, tidak menghormati, mengumpat atau berkelakuan tidak profesional. Anda sukar berjaya dalam hidup apabila bos anda beranggapan yang anda adalah seorang yang sombong, tidak suka membantu dan sering menyusahkan.

4- Rajin bertanya
     Tiada siapa tahu mengenai semua perkara terutama berkaitan pekerjaan yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Jika anda tidak pasti, tiada salahnya bertanya. Pihak atasan lebih suka anda bertanya dan mendapatkan kepastian terlebih dulu seperti langkah penyelesaian sesuatu tugasan diberikan, berbanding melihat anda membuat kesilapan. Atau mungkin lebih ketara, berterus terang bahawa anda tidak mampu melakukannya.

5- Ambil inisiatif
     Orang yang bersemangat amat diperlukan. Berfikir di luar kebiasaan dan jadilah penyelesai masalah apabila didatangi cabaran dalam pekerjaan. Jika anda tidak pasti sama ada anda melangkaui sempadan atau tidak, bawa berbincang dengan penyelia.

6- Dapatkan pendedahan
      Beberapa tugasan dari jabatan berlainan ada kalanya perlu disudahkan. Jangan menolak kerja dan sering mengadu anda dibebani atau menjalani latihan amali yang teruk. Tawarkan diri memikul tugasan baru, berinteraksi dengan mereka yang datang dari jabatan berlainan dan ambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti syarikat.

7- Pelajari dari setiap pengalaman yang anda peroleh
      Rebut peluang untuk menghadiri setiap mesyuarat, seminar, persidangan dan sebarang majlis yang diadakan syarikat. Ambil bahagian dalam sebarang sesi latihan dan menyemak bahan yang dicetak syarikat bagi meningkatkan pengetahuan anda.

8- Bina rangkaian
      Lampiran mengenai latihan praktikal yang anda ikuti antara cara terbaik untuk membina rangkaian bagi mendapatkan pekerjaan sebaik saja konvokesyen. Tingkatkan rasa kagum penyelia, pengurus atau bos anda sudah memadai buat anda dan selepas itu tidak mustahil pekerjaan menanti. Sekalipun tidak didatangi sebarang tawaran daripada syarikat berkenaan, mereka bakal memberi anda beberapa panduan berkesan supaya mudah memperoleh pekerjaan dalam industri berkaitan.

9- Rekod pencapaian
      Kolej kebiasaannya memerlukan anda mengemukakan laporan amali. Jangan tunggu hingga penghujung latihan amali untuk berbuat demikian. Buat senarai aktiviti dan pencapaian setiap hari atau setiap minggu. Adakah sepanjang latihan amali anda membantu menyusun risalah, menyelaras majlis, melakukan kaji selidik terhadap tahap kepuasan pelanggan? Anda perlu menyenaraikan kesemuanya kerana ia bakal dimasukkan di dalam ringkasan biodata nanti.

10- Nikmati keseronokannya
      Latihan praktikal adalah pengalaman pembelajaran yang menarik. Ia juga masa untuk anda menambah kenalan, memperluaskan lagi rangkaian baru dan berseronok. Cuba berfikiran terbuka dan bersemangat mengenai idea atau cara baru melakukan pelbagai perkara yang bermanfaat buat anda.
      Sangkaan yang tidak realistik dan kurangnya persediaan menempuh alam pekerjaan adalah dua penghalang terbesar yang dihadapi graduan baru apabila mencari kerja. Fahami apakah yang diperlukan sebelum terjun di dalam kerjaya pilihan kerana dengan cara itu akan mendapat ganjaran daripada usaha anda dalam masa terdekat.


No comments:

Post a Comment