Monday 17 June 2013

PENGURUSAN MASA

 BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM....

Kelapangan masa yang ada sekarang menggerakkan hati saya untuk berkongsi suatu sisipan akhbar yang saya ketemu pada tahun 2010 yang lalu. Saya simpan petikan ini kerana merasakan pengisiannya yang sangat berharga.

PENGURUSAN MASA .... "Masa tidak akan pernah berhenti.. malah ia akan terus bergerak / berjalan mengikut peredarannya". Masa itu emas, Masa itu nyawa dan lain-lainnya. Begitulah gambaran yang diberikan kepada 'MASA' yang menunjukkan peri pentingnya masa itu sendiri.

4 perkara yang terdapat dalam sisipan akhbar tersebut :

1-  Kenal pasti adakah anda tergolong mereka yang suka menangguh kerja

     Adakah anda suka menangguhkan kerja penting pada saat akhir dan leka membuat kerja tidak penting. Anda sering beranggapan kerja penting itu akan disiapkan kemudian sedangkan tugas itu masih belum dimulakan. Anda teragak-agak hendak melakukan tugasan dengan segera dan menunggu saat akhir untuk menyiapkannya.



2- Kenal pasti penyebab utama berlaku tabiat menangguh kerja

     Anda perlu bertanya diri mengapa suka menangguhkan kerja. Adakah ingin menunggu suasana baik melaksanakan tugasan atau menunggu masa sesuai membuat tugasan? Jika anda menunggu suasana baik, kemungkinan yang ditunggu-tunggu tidak tiba dan menunggu masa sesuai, tiada siapa dapat meramalkan masa depan anda. Masa yang ada bersama anda itulah 'Masa emas'.

3- Kenal pasti penyebab lain anda menangguh kerja

     Antara penyebab lain yang mungkin mempengaruhi anda menangguh kerja ialah kabur mengenai matlamat yang hendak dicapai. Tidak tahu hendak buat yang mana satu. Anda salah jangka mengenai tugasan yang hendak laksanakan. Pada awalnya ingat mudah, tetapi selepas diteliti tugasan itu susah untuk dilaksanakan, anda terhenti melaksanakannya. Anda juga tidak tahu hendak buat tugasan yang mana satu. Keadaan menjadi buntu dan anda terpinga-pinga. Akhirnya tugasan tidak siap.

4- Kenal pasti penyebab yang ada dalam diri anda yang membuatkan anda menangguh kerja

     Antara penyebab membuatkan anda cenderung menangguhkan kerja mungkin datang dalam diri anda sendiri. Adakah anda mahir melaksanakan sesuatu tugasan. Mungkin anda tidak berminat dengan mata pelajaran yang diajar. Mungkin juga anda tidak faham formula yang diberikan.  Merasakan mata pelajaran itu begitu sukar untuk difahami. Apabila anda tidak mahir, anda tidak akan selesa dengan tugasan yang diberikan.
     Ada juga pelajar takut gagal hingga tidak mahu membuat tugasan yang diberi. Pelajar bimbang silap dalam menyiapkan tugasan dan langsung tidak mahu meneruskan kerja. Pelajar yang begitu mementingkan kesempurnaan takut melakukan kesilapan. Sebenarnya, kesilapan bukan bererti gagal. Manusia tidak sunyi daripada membuat kesilapan. Jadikanlah kesilapan itu suatu pelajaran untuk menuju ke arah kesempurnaan.  


No comments:

Post a Comment